Kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang
ahli kajibumi dari Jepun, Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Hulu Dungun pada
tahun 1916 dan mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah
yang besar di kawasan tersebut. Syarikat Kuhara Mining Ltd telah
menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927
dan pada 13.1.1929 'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh
Kerajaan Terengganu kepada sebuah syarikat dari Jepun iaitu Nippon
Mining Company (Nippon Kogyo) / (NMC) yang melibatkan kawasan seluas 1080 ekar.
Pada tahun 1940 pengeluaran bijih besi berjumlah 1,962,000 tan dan
dibawa pulang untuk kepentingan industri di Jepun. Ia berakhir apabila
Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Perusahaan
perlombongan bijih besi oleh NMC berakhir pada tahun 1945. Apabila
British menjajah kembali Tanah Melayu, mereka menjual lombong Bukit Besi
kepada Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCo).
Awal 1950an
EMMCo menjalankan aktiviti perlombongan secara besar-besaran, kesan
daripada pemulihan peperangan dan permintaan yang tinggi dari
syarikat-syarikat Jepun. Ketika ini Bukit Besi adalah pengeluar terbesar
bijih besi dunia khususnya ke Eropah. Pihak EMMCo juga telah mewujudkan
banyak kemudahan orang ramai seperti pejabat pos, pejabat ukur, pejabat kebajikan
masyarakat dan sebagainya.
Satu-satunya perkhidmatan keretapi pernah wujud di Terengganu, pada
tahun 1930 ialah hasil dari perlombongan besi di Bukit Besi. Laluan
keretapi Dungun - Bukit Besi pada mulanya telah dapat disiapkan sehingga ke Che Lijah. Maka dengan itu, Stesen Che' Lijah dijadikan tempat memunggah bijih yang pertama. Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke
Kuala Dungun.
Kemudiannya laluan keretapi dipanjangkan sehingga ke
Nibong (dikenali
Nibong Stesen) seterusnya ke Sura setelah sebuah bukit berjaya dibuat
laluan keretapi melalui terowong, sehinggakan bukit itu dikenali sebagai
Bukit Tebuk.
Di sepanjang laluan keretapi dari Bukit Besi ke Dungun, terdapat sebelas
buah stesen keretapi bagi membolehkan keretapi berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Perkhidmatan keretapi yang dijalankan 24 jam itu mengandungi beberapa koc penumpang dan gerabak bermuatan bijih besi di belakangnya. Koc penumpang itu gunanya untuk para pekerja di lombong itu yang tinggal di sepanjang landasan. Mereka bekerja mengikut giliran atau shift tertentu. Orang ramai yang tidak bekerja dengan EMMCo juga boleh menaiki keretapi itu tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Berikut adalah senarai stesen keretapi dari Bukit Besi ke Dungun:
1. Bukit Besi
2. Luit
3. Pinang
4. Padang Pulut
5. Kemudi
6. Kumpal
7. Serdang
8. Binjai
9. Che' Lijah
10. Nibung
11. Sura.
No comments:
Post a Comment